Thursday, March 20, 2008

Lelaki dan wanita bersentuhan undang bencana

Manusia sentiasa mencari punca masalah yang sebenarnya tidak lain tidak bukan adalah berpunca dari diri mereka sendiri.

Saya telah terbaca sebuah artikel yang mengatakan bahawa terdapat penyakit yang boleh disebarkan melalui sentuhan tangan lelaki dan wanita[1]. Justeru, mereka berusaha untuk memberi vaksin kepada setiap budak lelaki dan wanita untuk mengelakkan penyebaran penyakit ini.

Walhal, Islam telah sejak dahulu lagi menyediakan tatacara perhubungan lelaki dan wanita.

Nota Kaki:
[1] http://well.blogs.nytimes.com/2008/02/25/a-vaccine-for-boys-to-help-girls/

Monday, January 28, 2008

Malapetaka Ekonomi Kerana Riba'

OLEH DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

SEPANJANG minggu lalu, media massa antarabangsa sibuk melaporkan kemungkinan krisis besar ekonomi bakal melanda gergasi ekonomi dunia Amerika Syarikat (AS).

Dalam satu laporan, Ben Bernanke iaitu bos tertinggi institusi mengawal selia sistem ekonomi dan kewangan AS (Federal Reserve), menjangkakan tahun 2008 bakal menyaksikan tahun terburuk sejarah ekonomi AS.

Kekalutan ekonomi AS yang bermula dengan krisis hutang perumahan subprima yang mencecah kerugian ratusan bilion dolar tampak semakin meruncing hingga merencatkan pertumbuhan ekonomi negara itu. Untuk makluman, hutang subprima ialah hutang perumahan yang diberikan pihak bank kepada golongan peminjam yang tidak mempunyai kelayakan kewangan yang baik.

Lazimnya bank hanya memberikan pinjaman berpandukan kriteria kelayakan kredit yang ketat seperti status kewangan peminjam dan sejarah pembayaran balik hutang yang positif. Namun, kerakusan mengaut keuntungan melalui urus niaga jual-beli hutang di pasaran tempatan dan antarabangsa merangsang institusi kewangan mempermudahkan pengeluaran pinjaman perumahan termasuklah kepada golongan yang tidak layak.

Hutang

Hutang-hutang daripada pembiayaan perumahan ini kemudiannya diperdagangkan di pasaran tempatan dan antarabangsa dengan menawarkan pulangan lumayan kepada para pelabur. Apatah lagi jika yang menjual sijil-sijil hutang ini adalah dari kalangan bank-bank ternama AS. Penyimpangan persepsi bahawa bank-bank AS tidak mungkin rugi juga meningkatkan kepercayaan pelabur untuk membeli sijil-sijil hutang subprima yang berkualiti rendah ini.

Namun keadaan ini tidak bertahan lama. Peningkatan hutang lapuk lantaran kegagalan peminjam melunaskan hutang mencetuskan pelbagai lingkaran masalah dan kesan-kesan negatif lain. Pelabur-pelabur yang rakus mengaut keuntungan daripada pembelian sijil hutang subprima ini tidak terkecuali daripada mengalami kerugian besar.

Natijahnya, kita lihat betapa seriusnya krisis hutang subprima ini sehingga menimbulkan malapetaka yang maha hebat bukan sahaja ke atas ekonomi AS bahkan terhadap ekonomi dunia. Peningkatan harga minyak yang mencecah AS$100 setong kerana kemerosotan mendadak nilai dolar akibat krisis ekonomi ini turut memberi kesan kenaikan harga pasaran komoditi dunia yang lain.

Pengguna seperti kita juga tidak ketinggalan merasai bahang kejatuhan ekonomi AS dengan peningkatan mendadak harga barang kegunaan asas termasuklah kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah.

Tidak sukar menelah punca kepada segala malapetaka ini. Malah bekas Pengerusi tersohor bank pusat AS (Federal Reserve) iaitu Alan Greenspan telahpun menjangkakan malapetaka ini dalam bukunya yang baru diterbitkan bertajuk The Age of Turbulence.

Sesungguhnya malapetaka ekonomi yang sedang melanda ini merupakan suatu natijah daripada kebobrokan sistem kapitalis berasaskan manipulasi kadar faedah atau lebih tepat lagi ekonomi berasaskan riba. Kerakusan manusia mengeksploitasi sistem kewangan antarabangsa termasuklah pelbagai keuntungan atas angin yang diperoleh melalui spekulasi ke atas kadar faedah menambahkan lagi masalah ekonomi yang sedia parah.

Hakikat

Menyedari hakikat inilah, Islam sejak dari awal lagi mengharamkan urus niaga ekonomi berasaskan riba yang amat terkait dengan unsur-unsur ketidakadilan, penindasan dan ekploitasi. Sistem ekonomi kapitalis berorientasikan riba dan manipulasi kadar faedah ini merangsang kegiatan mencari untung atas angin yang kadangkala tidak terkait dengan sektor pengeluaran mahupun perkhidmatan sebenar yang disebut istilah ‘real economy’.

Malah sistem ekonomi sebeginilah yang amat sensitif kepada krisis dan manipulasi hingga boleh memudaratkan seluruh umat manusia. Sebab itulah Allah (SWT) menegaskan secara khusus bahawa urus niaga berasaskan riba tidak akan sesekali mendapat barakah malah boleh membawa kepada kecelakaan dan kesengsaraan.

Prinsip

Dalam al-Quran disebutkan:

Allah (SWT) susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah (SWT) tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa. (al-Baqarah: 276)

Apa yang pasti sistem ekonomi Islam menitikberatkan prinsip keadilan dan bebas daripada unsur-unsur penindasan. Keuntungan atas angin tidak dibenarkan dalam Islam. Sebaliknya setiap keuntungan yang dijana mestilah ada unsur ‘iwad atau pertukaran nilai (counter-values) sama ada dari segi usaha (al-kasb), risiko (al-ghurm) dan tanggungan (al-dhaman).

Sebagai contoh, apabila Allah (SWT) mengharamkan riba, Dia memberi alternatif jual-beli (al-Baqarah: 275). Keuntungan yang dihalalkan melalui jual-beli (al-bai‘) ialah apabila adanya usaha kerana penjual harus membeli barangan daripada pembekal sebelum menjualnya dengan harga yang lebih tinggi daripada kos asal. Penjual juga mesti bersedia menanggung kerugian (al-dhaman) dan risiko (al-ghurm) lain sekiranya barangan yang dijual itu rosak atau tidak terjual. Inilah sebahagian daripada elemen ‘iwad yang membezakan keuntungan dalam jual beli dengan faedah berupa riba dalam kontrak hutang.

Justeru tiba masanya umat kembali kepada sistem ekonomi Islam yang bukan sahaja bebas daripada unsur riba tetapi yang lebih utama menjunjung prinsip keadilan dan kebajikan dalam urus niaga, bebas daripada sebarang penindasan dan kezaliman. Keuntungan yang diperoleh melalui jalan halal akan menambah keberkatan. Sebaliknya keuntungan atas angin melalui urus niaga riba hanya menjerumus umat manusia kepada kecelakaan.

-Nurjeehan

Wednesday, January 2, 2008

Sains bukti sembelihan Islam kaedah terbaik

Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap
perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam
mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana
banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan
korban pada Aidiladha.

Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh
Barat, mereka menggunakan alasan amalan korban ini
sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan
betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas.

Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya
haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala sebelum
dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan
terlebih dulu sebelum ia dibunuh.

Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan
untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia
mati.

Apakah pandangan Barat ini benar?

Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan
apa yang diharamkan adalah jelas terutama membabitkan
daging.

Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan:

"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah,
dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih
kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik,
dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk,
dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang
sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama
berhala." (Tafsir al-Rahman, Jakim).

Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging
haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher,
menghempap dengan batu atau cara selain daripada
sembelihan.

Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan
pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk
memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini
dikaji pakar Jerman.

Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr
Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti
Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses
mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih
dan segar.

Kajian itu bertajuk, `Cubaan untuk mengesan kesakitan
dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama
ketika menyembelih lembu atau kambing', menyimpulkan
kaedah Islam terbaik kerana lebih berperikemanusiaan.

Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan
elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang
diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat
sangat pada haiwan.

Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di
pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan
menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan
untuk pulih selama beberapa minggu.

Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah
Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher
dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh
mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan
(CBP).

Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph
(EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi
mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan
terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP.

Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat
pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan
sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum
penyembelihan.

Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak
berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja
pisau memotong urat leher terbabit.

Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur
lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak
darah mengalir keluar dari badan.

Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar,
menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang
kesakitan.

Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung
masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak
akibat tindak balas daripada saraf tunjang,
menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan
menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan,
menurut penyelidikan itu.

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan
dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan
CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan
itu.

Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal
selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang
disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih
terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat
untuk dimakan.

Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan
haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam,
turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak
penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia.

Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan
oleh Universiti Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan
Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan
pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu
diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi)
menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang
haiwan itu.

Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan
saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas
teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan
apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria
serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke
daging.

Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke
atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk
diambil dagingnya di Amerika Syarikat.

Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia
juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding
daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti
ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak
sembelih.

Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan
menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan
saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga
memberi manfaat kesihatan kepada manusia.

Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain
bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan
dengan lebih baik.

Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan
supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan
memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi
mengurangkan rasa sakit.

Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan
dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf
otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan
kepada otak.

Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika
disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku
selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan
tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang.

Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan
sepenuhnya, kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam
Islamonline pada 2003.

Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan,
adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan
pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau
menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain.

Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha
menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran
udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa
menjejaskan saraf tunjang.

"Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari
badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih.

"Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung
akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan
terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan
sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan
membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai
perantara kepada mikro organisma," kata Aisha dalam
kajiannya.

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat
berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika
proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka
terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti
kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Friday, October 19, 2007

HIBURAN TANPA PRINSIP

Artikel dari Blog Mokhzani

Assalamualaikum wbt.. :)

Apa khabar semua? Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir dan Batin saya ucapkan kepada semua pengunjung Inazhkom.blogspot.com ini. Terima kasih saya ucapkan kepada anda semua kerana tidak jemu-jemu melawat weblog saya yang amat jarang sekali saya update sekarang. InsyaAllah saya cuba membuat sekadar yang termampu memandangkan masa yang ada amat terhad sekali buat masa ini. Sokongan yang diberikan oleh semua amat saya hargai.

Semalam saya sedang menjenguk-jenguk website yang memberikan statistik pelawat yang hadir ke blog ini. Alhamdulillah, walaupun di luar jangkaan saya, ternyata blog ini masih ada peminat setia yang sentiasa melawat. Walaupun bilangannya tidaklah ramai, tetapi setiap hari ada saja yang melawat. :) Saya tertanya-tanya dari mana anda semua datang? Melalui website tersebut saya boleh mengetahui dari mana anda klik weblog saya ini. Rupa-rupanya ada antara yang masuk ke sini melalui laman web Ukhuwah.com Weblog Ranking List. :D Wah! tak sangka blog saya ada yang vote hehe.. Sekarang ni no. 49, not bad. hehe.. Saya ucapkan terima kasih kepada yang vote itu. Takdela saya mengharapkan sangat, tapi saya sangat gembira kalau anda semua sudi untuk berkongsi ilmu-ilmu yang ada di sini dengan orang lain. :)

Walaupun apa yang akan saya utarakan ini mungkin boleh menjejaskan prestasi blog saya dalam ranking tersebut, tapi saya rasa saya perlu berbuat demikian. Walaupun saya tahu Ukhwah.com adalah antara fan club Hijjaz yang paling besar, tapi saya rasa perkara yang saya akan cakap ini adalah sesuatu yang perlu untuk memperbaiki suasana.

Saya rasa telah lebih dari 10 tahun arena nasyid kontemporari bertapak di negara ini. Dan sejak daripada itu banyak kisah suka duka, jatuh bangun kumpulan-kumpulan nasyid di negara ini mendapat perhatian daripada banyak pihak. Daripada zaman kumpulan nasyid De' Zikr sampailah ke Mawi dan lain-lain lagi penyanyi nasyid samada berkumpulan ataupun solo, muzik nasyid kontemporari telah membawa satu nafas baru kepada peminat seni tanahair yang sentiasa mahukan satu bentuk hiburan yang berunsurkan ketuhanan. Dan untuk pengetahuan anda semua, saya jugak adalah salah seorang daripada peminat nasyid kontemporari tanahair.

Antara kumpulan yang sentiasa saya minati ialah Hijjaz dan anak-anak didiknya iaitu In-Team, Mestica, UNIC dll lagi. Mungkinlah anda beranggapan saya ini jiwang. :D Tapi biasalah, masa itu jiwa muda memang begitu. Bak kata orang, tengah kemaruk nak berkawin. :P Pada masa itu In-Team terkenal dengan lagunya yang banyak berunsur jiwang-jiwang. Dan ia bolehlah diibaratkan satu arus perdana dalam arena nasyid pada ketika itu. Ada juga ustaz-ustaz yang tidak bersetuju dengan lagu-lagu yang dibawakan dan ia terus disuarakan sehinggalah sekarang. Antara ustaz-ustaz yang lantang dalam hal ini ialah Ust. Maszlee dan juga Ust. Hasrizal. Tapi biasalah, kita orang muda-muda lagi, apa kisah sangat akan hal-hal tersebut, layan tetap layan. :) (ini saya lah, mungkin sahabat-sahabat lain tidak begitu)

Namun begitu kita dikejutkan dengan berita In-Team menarik diri mereka daripada jagaan Hijjaz Records kepada syarikat mereka sendiri. Mungkinlah ada antara kita memikirkan bahawa mereka sudah boleh berdiri sendiri dan mahu buat bisnes sendiri. Saya juga berfikir begitu pada mulanya. Dan biasalah sebagai "die hard fan" In-Team, saya masih lagi membeli CD original mereka. Ternyata lagu-lagu yang dibawakan dalam album terbaru In-Team "Tiada Lagi Kasih" tidak sama dengan waktu mereka bersama Hijjaz. Lagu mereka lebih matang dan lebih ke arah mendekatkan diri kepada Allah. Tiada lagi istilah-istilah cinta ataupun kasih sayang sesama manusia (mungkin sebab itu tajuk album itu dipilih kot), tetapi lebih kepada menjadi insan yang bertakwa dan cintakan akhirat. Seolah-olah kini mereka bebas daripada belenggu Hijjaz yang ingin mereka membawa lagu-lagu cinta.

Persoalannya di sini ialah, adakah In-Team keluar daripada Hijjaz Records kerana tidak lagi mahu untuk membawa lagu-lagu cinta ataupun memang betul-betul kerana nak buat bisnes sendiri? Jawapannya hanya In-Team dan Hijjaz sahaja yang tahu. Apa yang pasti In-Team telah membuat keputusan yang bijak dan tidak lagi dikongkong oleh orang lain dalam memilih jalan untuk masa hadapan yang cerah. Sekiranya benar In-Team memilih untuk bersendiri kerana tidak mahu lagi mendendangkan lagu-lagu cinta, ini ternyata In-Team ada prinsip tersendiri dan berpegang kepada prinsip tersebut. Inilah "Hiburan Berprinsip" yang kita mahukan. Prinsip yang dimaksudkan ialah prinsip yang kukuh kepada Islam dan tidak berganjak daripadanya. Sekiranya In-Team sudah mula beralih kepada berpegang dengan prinsip ini, maka kita sebagai pendengar sepatutnya memberikan sokongan kepada mereka.

Apa pula yang telah terjadi kepada Hijjaz? Well, bisnes mereka masih berjalan lancar.. Dengan anak-anak didik yang masih setia iaitu Mestica dan UNIC. :) Juga fan club yang besar yang sentiasa menyokong di belakang iaitu Ukhuwah.com. Cumanya nasihat saya kepada peminat-peminat Hijjaz dan mana-mana juga kumpulan nasyid, janganlah kita meminati satu-satu kumpulan, parti ataupun apa-apa sahaja firqah sehingga kita mengenepikan prinsip-prinsip Islam. Pastikan dari semasa ke semasa prinsip-prinsip Islam itu dijaga dan tetap dipegang teguh. Barulah kita menjadi peminat-peminat yang berprinsip dan tidak minat membabi buta. Ini supaya kalau orang yang kita minati itu masuk gaung, maka kita tidaklah turut sama masuk gaung. :)

Saya tidak mengatakan Hijjaz masuk gaung.. Tapi menurut pengamatan saya, Hijjaz sudah hampir-hampir masuk gaung. :) Kenapa saya berkata demikian? Sudah pasti saya tidak mengatakan apa yang tidak saya ketahui. Baru-baru ini saya menyaksikan sendiri bagaimana Hijjaz dan Ina Naim (bekas tunang Mawi) menyanyi bersama-sama di atas satu pentas dalam rancangan Zoom In. Reaksi pertama saya ialah.. "Hijjaz ke ni?" :) Kepada sahabat-sahabat yang faham, mungkin tak perlu diterangkan lagi kenapa saya merasakan penampilan Hijjaz dalam keadaan begitu adalah amat memalukan sekali buat satu kumpulan nasyid yang kedua terbesar di negara ini selepas Raihan.

Buat anda yang masih belum faham, biarlah saya utarakan satu dua perkara yang berkaitan untuk sama-sama kita fikirkan.

1. Hijjaz menyanyi di atas pentas sekali dengan Ina Naim iaitu seorang muslimat. Logik ke kumpulan nasyid buat macam tu? huhu
2. Hijjaz menaja Ina Naim untuk menjadi seorang artis nasyid yang mana Ina Naim ialah seorang perempuan yang mana sepatutnya Hijjaz tahu bahawa orang pompuan takleh menyanyi kerana suara mereka adalah aurat apatah lagi bila dilenggok-lenggokkan sebegitu.
3. Hijjaz menaja Ina Naim seorang yang kontroversi apabila Mawi sendiri memutuskan pertunangannya dengan Ina. Ina pulak buat buku pasal kisah cinta dia dengan Mawi. Pendek kata Ina ni bermasalahlah.

Jadi saya ada beberapa persoalan buat Hijjaz. Adakah Hijjaz sudah mula fikirkan dunia semata-mata dengan mengambil Ina sebagai artis yang mana boleh melariskan jualan dan mendapat publisiti murahan memandangkan ada sejarah silam bersama Mawi? Adakah Hijjaz sudah mula lupa akan prinsip-prinsip Islam yang dilaungkan dalam lagu-lagunya? Di manakah Hijjaz yang dulu, yang sentiasa melaung-laungkan kalimah keinsafan kepada Allah swt?

Saya sebagai bekas peminat Hijjaz mengharapkan persoalan ini dapat dijawab oleh Hijjaz. Janganlah semata-mata kerana inginkan populariti kita mengenepikan persoalan prinsip dalam Islam. Janganlah membawa hiburan tanpa prinsip. Kerana ini akan membawa kita lebih jauh daripada Allah swt, bukannya mendekatkan kita kepadanya.

-Rintihan hati seorang peminat muzik nasyid tanahair. :)

Wednesday, October 10, 2007

Wanita Seksi Perlu Fikir Dua Kali

Telah lama persoalan ini bermain di fikiran saya. Ia adalah mengenai isu wanita yang suka berpakaian seksi dengan niat atau tidak untuk dipersembahkan kepada khalayak ramai.

Tidak dinafikan bahawa ramai antara mereka berfikiran bahawa a adalah satu trend yang perlu diikuti. Mereka yakin bahawa trend tersebut adalah biasa dan dibiasakan untuk mengelak dari dikatakan sebagai ketinggalan zaman dan sebagainya.

Ada pula diantara mereka bukan sahaja berpakaian malah mendaikan cara hidup wanita barat sebagai jalan menuju kebahagian hidup alam remaja. Disko dan party yang mereka adakan pada larut malam telah menjadi kebiasaan yang terbawa-bawa sehingga ke hari ini.

Manusia berfikiran waras dan rasional lebih Islam

Di sini saya senaraikan beberapa laman web yang saya temui ketika membaca artikel-artikel berkenaan filem-filem yang menayangkan aksi budak bawah umur dirogol yang malangnya diterima oleh undang-undang mereka atas sebab-sebab seni atau 'arts' atau lain-lain sebab yang saya malas nak fahamkan atau baca.

Link ini saya senaraikan hanya kerana ia bertepatan dengan apa yang saya fikirkan sebagai seorang islam. So mana-mana yang tidak menpati Islam perlu diabaikan.

http://geraldhibbs.blogspot.com/2007/01/casual-sex-is-hazardous-to-womans.html
http://geraldhibbs.blogspot.com/2007/01/more-proof-im-prude.html
http://www.opinionjournal.com/taste/?id=110009517

Setelah anda membaca posting di atas, tidakkah anda memikirkan betapa orang yang bukan Islam boleh berfikir secara logik dan menemui kebenaran. Inikan pula kita yang dari awal lagi telah memeluk Islam tapi kemudian tidak mengikuti ajaran Islam dalam konteks berpakaian dan lain-lain.

Wanita tidak menjaga batas Aurat

Saya sedikit sebanyak telah awal-awal lagi mengatakan bahawa mereka ini sungguhpun cantik dan seksi sebenarnya berfikiran pendek dan kurang matang. Ini kerana waktu mereka muda dan cantik itu tidak lah selama mana.

Baiklah kita boleh katakan selama 10 tahun mereka akan dipuji oleh mata yang memandang sedangkan bilangannya akan berkurang bila mereka telah mempunyai kesan-kesan penuaan yang amat mudah dapat dikesan.

Jadi anda ada adik, kakak, emak, saudara perempuan ingatkanlah mereka kerana mereka sebenarnya merosakkan diri mereka sendiri dalam sedar atau tidak. Oleh itu mintalah mereka berpakaian menutup aurat - yang sempurna.

Friday, August 31, 2007

Gambar Seks dan Lucah Boleh Menyebabkan Buta

"Islam telah lama menyuruh kita menjauhi sebarang perkara yang boleh mendekatkan kita kepada zina. Sekarang saintis barat membuktikan kebenaran tersebut. Kajian dilakukan oleh Dr David Zald, dari Vanderbilt University di Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat.
Akhbar, majalah, novel, televisyen, filem malah komik di Malaysia , negara yang majoritinya umat Islam dilambakkan dengan gambar seksi dan ghairah untuk menarik pelanggan yang akhirnya bukan hanya membutakan hati umat Islam , malah membutakan mata kita semua.

Berikut ialah petikan kajian Dr David Zald :

Para penyelidik akhirnya menjumpai bukti apa yang budak-budak Katolik ketahui sejak sekian lama – gambar ghairah akan membuatkan anda buta. Kesannya sementara, akan tetapi para penyelidik menggesa kepada pihak majlis keselamatan jalanraya agar mengharamkan papan tanda iklan seksi terutamanya di jalan-jalan yang sibuk, supaya kemalangan dapat dielakkan.

Penemuan terbaru oleh ahli saikologi US itu mendapati mereka yang melihat gambar ghairah/seksi akan tidak dapat melihat imej yang terpapar selepas itu.

Para penyelidik ini mendapati mereka yang buta akibat rangsangan emosi ini menyebabkan mereka tidak nampak kenderaan lain atau pejalan kaki.

-tranung

Thursday, August 30, 2007

Nilai Tudung Wanita

Di sini Darul Nu'man ingin menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan mahramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Allah mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersolat. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan mahramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal solat lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.