Sunday, July 8, 2007

Apabila dunia hiburan kita terbatas

Apabila Dunia Hiburan Kita Terbabas RAMAI wartawan menghubungi sayabertanya pendapat tentang beberapa tindakan artis kita yang menimbulkan berbagai-bagai kontroversi. Saya menangguhkan jawapan terhadap kebanyakan soalan itu bimbang nanti disalahtafsirkan. Biar saya sendiri yang menulisnya agar lebih jelas maksud saya.

Sebelum saya pergi lebih jauh, wajar dijelaskan terlebih dahulu bahawa
saya bukan antihiburan atau seni. Sebabnya, Islam itu bukan agama
antihiburan dan seni. Cuma setiap perkara dalam Islam, ada batasan dan
disiplinnya.

Dalam sahih al-Bukhari, al-Rubaiyi’ binti Mu’awwiz menceritakan bahawa
Rasulullah s.a.w. datang ke majlis perkahwinannya dan mendengar beberapa
orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang
bapa mereka yang terbunuh semasa Peperangan Badar sehingga salah seorang
daripada mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang
akan berlaku pada hari esok.” Baginda bersabda: Jangan engkau kata
begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu.

Dalam hadis tersebut baginda tidak melarang hiburan pada hari keramaian
seperti perkahwinan. Cuma baginda melarang ungkapan atau lirik yang
salah. Hanya yang mengetahui apa yang akan berlaku esok hari ialah
Allah. Maka baginda membetulkannya.

Baginda bertindak bagaikan lembaga penapisan dan penilaian seni atau
hiburan agar tidak menyanggahi batasan agama yang murni ini.

Islam tidak jumud sehingga menjadikan hidup ini kaku dan tidak ada
langsung rempah-ratus kehidupan yang diselang-seli oleh hiburan dan
keseronokan dengan kadar yang tidak melampaui batas sehingga boleh
menghilangkan matlamat hidup yang sebenar.

Dalam riwayat al-Bukhari juga daripada Aisyah bahawa seorang wanita
berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai Aisyah!
Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan.
Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’ yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan
al-Tirmizi, baginda bersabda: Perbezaan antara yang halal dan yang haram
adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang
halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan.

Kegembiraan pada hari perkahwinan dizahirkan secara nyata dengan hiburan
kompang atau alatan yang lain dan suara. Suara di sini ada yang
mentafsirkannya sebagai iklan pernikahan. Juga boleh ditafsirkan sebagai
nyanyian seperti hadis al-Bukhari sebelum ini.


*Masjid

Bahkan baginda mengizinkan pertunjukan yang menghiburkan di masjid
sekalipun. Ini seperti hadis al-Bukhari. Kata Aisyah r.a: “Suatu hari
Rasulullah s.a.w. berada di pintu bilikku, ketika itu orang-

orang Habsyah sedang bermain di dalam masjid. Baginda melindungiku
dengan selendangnya agar aku dapat melihat kepada permainan mereka.
Kemudian baginda bangun keranaku sehingga aku beredar (bosan). Kamu
andaikan kadar seorang anak gadis yang muda yang berminat dengan hiburan.”

Hadis-hadis ini menunjukkan keizinan Islam untuk penganutnya menikmati
hiburan dengan batasan yang ditetapkan. Ini kerana hidup yang diciptakan
Allah akan menempuh berbagai-bagai situasi dan keadaan. Kadangkala ia
memerlukan kerehatan dengan hiburan yang berprinsip bagi membantu
melegakan ketegangan urusan hidup. Juga hiburan membantu memeriahkan
acara yang patut dihidupkan suasana kegembiraan seperti perkahwinan atau
Hari Raya.

Di samping itu, ada pula insan lain yang tidak memerlukan itu semua.
Maka hiburan bukan suatu kemestian tetapi suatu keizinan dan peluang
untuk insan. Atau paling tinggi suatu galakan Nabi untuk suasana
tertentu. Justeru, hiburan bukan fokus utama dalam masyarakat Islam. Ini
kerana, hiburan jika berlebih-lebihan maka ia akan mengganggu tumpuan
hidup umat yang agung iaitu menjadi khalifah dengan membina tamadun yang
bertunjangkan akidah dan pengabdian diri kepada Allah dan membawa rahmat
untuk manusia sejagat.

Keizinan Nabi untuk para sahabat menikmati hiburan dengan kadar yang
munasabah tidak pernah mengganggu mereka membawa misi agung yang disebut
oleh Rib’i bin Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: “Allah yang
membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya
dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari
kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit
kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Malangnya, apa yang kelihatan dalam masyarakat Muslim kita, hiburan yang
merupakan keizinan untuk meredakan ketegangan urusan hidup atau sebagai
peluang menikmati keseronokan telah dijadikan fokus utama dalam
kehidupan. Media seakan mengajak generasi kita menumpukan sepenuhnya
kemampuan diri untuk berlumba-lumba di bidang hiburan. Sehingga jika
dilihat kepada media elektronik dan cetak, seakan tidak ada agenda lain
yang lebih utama dalam kehidupan generasi baru dari berhibur dan
berseronok sepanjang masa.

Hiburan yang diizinkan dengan kadar yang munasabah telah menjadi candu
dan barah yang membunuh tumpuan remaja dan para pemuda untuk membina
tamadun secara bermaruah dan merdeka.

Lebih buruk lagi, kebanyakan hiburan yang disebarkan itu bukan sahaja
tidak mempunyai nilai kesopanan dan tamadun, bahkan sebahagian adalah
lambang keruntuhan akhlak dan ketidakmerdekaan jiwa. Sebahagian yang
melibatkan diri dalam dunia hiburan itu; kisah, pakaian, bahasa dan gaya
mereka bukan sahaja tidak memperlihatkan kematangan dan tamadun, bahkan
menonjolkan ciri-ciri kebodohan diri. Lihat sahaja sesetengah adegan
lawak jenaka zaman kita atau aksi sesetengah artis.

Di samping itu, acuan atau reka bentuk hiburan itu sendiri gagal
menunjukkan jati diri umat yang mempunyai tamadun dan budaya yang
tersendiri. Lihat sahaja nama-nama program realiti hiburan yang
ditampilkan, kebanyakannya melambangkan jiwa yang tidak merdeka yang
menceduk dari reka bentuk sehingga ke nama program pun tidak mampu diubah.

Para penggiat hiburan, ramai yang menjadikan Barat kayu ukur dalam
kegiatan mereka. Maka sehingga ada yang merasai gelagat buruk artis
Barat sama ada Paris Hilton atau Britney Spears atau seumpama mereka
mempunyai nilai seni yang tersendiri.

Mereka lupa bahawa Barat sedang mengalami keruntuhan moral yang parah
disebabkan para artisnya. Nilai-nilai buruk dan hodoh telah bertukar
menjadi sesuatu yang normal dalam kehidupan mereka sehingga merosakkan
ikatan keluarga, budaya asal mereka bahkan agama mereka sendiri. Para
artis mereka adalah lambang dan penyumbang kepada keruntuhan tersebut.

Namun Barat masih mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya mereka telah
berjaya membina tamadun kebendaan yang hebat yang menjadikan mereka
dipandang megah oleh dunia. Maka kecuaian muda- mudi mereka masih dapat
ditampung dengan tamadun kebendaan yang telah mereka bina. Untuk mereka
melangsungkan apa yang sudah mantap tidaklah begitu sukar.

Juga, aktiviti hiburan mereka telah membawa pulangan ekonomi yang
tinggi. Ini kerana, dunia lain memandang tinggi jenama mereka dan
sanggup membayar harga untuk menikmati hiburan mereka. Adapun kita,
belum berjaya membina tamadun kebendaan, mahupun budaya seperti mereka.
Lebih malang lagi, kegiatan seni kita lebih banyak membazirkan wang
bangsa sendiri dan gagal menghasilkan pulangan ekonomi untuk negara.

Dalam keadaan kita yang dilanda berbagai-bagai masalah yang gagal
diselesaikan dengan kadar yang selesa; dadah, kerosakan akhlak, gejala
jenayah remaja, malas, sikap tidak bertamadun anak bangsa; adakah patut
kita fokuskan tenaga dan kemampuan remaja kita ke arah hiburan ‘tidak
berhenti-henti’ atau ‘hiburan tanpa sempadan’? Program realiti hiburan
ada yang telah memerangkap cita-cita hidup anak muda sehingga gagal
memikirkan kemampuan diri selain dari menjadi ‘artis segera’.

Namun perkara yang paling realiti bagi setiap program realiti hiburan
itu adalah penajanya mengaut untung gila-gila sementara kerugian
langsung atau tidak langsung ditanggung oleh ‘anak dan bapa’ orang kita.

Sekali lagi, saya bukan antiartis, hiburan dan seni. Anda boleh baca
temu bual dengan saya oleh majalah Pentas terbitan Istana Budaya. Namun
saya sedang membicarakan soal untung rugi jangka masa panjang terhadap
umat jika terus dibiarkan generasi kita tenggelam dalam arus hiburan
tidak berdisiplin yang sedang pesat sekarang.

Saya tidak antiartis secara melulu. Bahkan saya tahu ada artis-artis
yang ternama juga membaca artikel saya. Setiap orang ada sumbangannya.
Namun saya mengharapkan agar kegiatan seni tidak melanggari disiplin
agama dan memusnah masa depan bangsa. Hiburan kita seakan hilang arah.
Dalam banyak hal, kelihatan tidak banyak memberi sumbangan kepada
pembangunan peradaban dan ketamadunan umat.

Islam bukan jumud yang menuntut agar filem atau artis yang berdisiplin
mesti mempamer ‘lebai’ atau kopiah di atas kepala atau dibacakan nas-nas
agama. Yang penting ialah disiplin dalam penampilan dan kandungan.
Sekadar bersongkok atau berkopiah belum tentu isi seninya tidak
melanggar batasan Islam.

Dalam industri perfileman, saya rasa kita boleh puji Iran. Walaupun saya
dalam banyak perkara pokok dan cabang amat berbeza dengan mazhab utama
negara tersebut. Namun saya akur industri filem di Iran telah berjaya –
pada suatu tahap – menghasilkan filem-filem yang mempunyai disiplin yang
tinggi dan kualiti yang baik. Bahkan banyak juga filem mereka yang
memenangi berbagai anugerah di peringkat antarabangsa. Tanpa perlu
mempamerkan watak yang menyanggahi agama atau menceduk aksi dan watak
Barat, filem ‘Kasut’ dari Iran berjaya memenangi anugerahnya.

Pihak yang diberikan bajet besar untuk kemajuan Islam pula hendak
merancang agar media benar-benar dimanfaatkan untuk pembangunan umat.
Media adalah kuasa ajaib di zaman ini. Janganlah program kita hanya
stereotaip yang tidak boleh dipasarkan untuk generasi baru.

Kepentingan menguasai media atau memanfaatkannya lebih utama dari
memikirkan bagaimana mengelakkan Mufti Perlis daripada muncul dalam
Forum Perdana. Sehingga hari ini para penggiat seni tidak mempunyai
penasihat seni dari sudut agama yang praktikal dan produktif.

Anugerah-anugerah prestij agama yang sudah bersifat ‘muzium’ itu
patutlah digantikan dengan anugerah-anugerah lain yang lebih utama untuk
difokuskan. Anugerah filem yang berkualiti dan tidak menyanggahi syariah
umpamanya mungkin boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan seni yang
lebih berdisiplin.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.