Tuesday, April 29, 2008

Hidup bawah pancaran maut

Hidup bawah pancaran maut

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my

Profesor Bersekutu Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr KELANA JAYA: Ibarat telur di hujung tanduk. Itulah situasi dihadapi penduduk Taman Subang di sini, yang dipercayai berisiko lebih tinggi diserang kanser dan pelbagai penyakit kronik lain berikutan tinggal berhampiran menara pemancar telekomunikasi.

Pendedahan mengejutkan itu dibuat Profesor Bersekutu Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Adlina Suleiman, bersama 10 pelajarnya, baru-baru ini, melalui kajian kesan radiasi menara pemancar telekomunikasi terhadap penduduk di taman perumahan itu.

Anak lelakinya dimasukkan ke hospital kerana mengalami ketumbuhan pada wajah dan peliknya selepas dirawat, ketumbuhan itu kembali berulang.

Anak perempuannya pula dijangkiti ‘herpes zoster’ iaitu sejenis kayap yang tidak akan menyerang sistem imun badan orang normal.
Hasil kaji selidik dua minggu membabitkan 170 penduduk taman perumahan itu mendapati 8.23 peratus responden dilaporkan diserang kanser berbanding tidak sampai satu peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat negara ini mengalami penyakit sama.

Kebanyakan kes berlaku sesudah sebuah menara pemancar telekomunikasi didirikan di taman perumahan itu 10 tahun lalu, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia mempunyai kaitan secara langsung dengannya.

Dr Adlina yang turut menghuni taman perumahan itu mengambil inisiatif membuat siasatan mengenai bahaya kesan radiasi gelombang elektromagnetik (EMR) dihasilkan menara pemancar telekomunikasi sebelum melakukan kaji selidik dua minggu membabitkan 170 responden terbabit.

“Mengikut kajian satu badan dibiayai Kesatuan Eropah (EU) yang dipanggil Reflex menunjukkan, wujud kemungkinan gelombang elektromagnetik bertenaga rendah (EMF) dapat memusnahkan kromosom, merubah aktiviti sesetengah gen dan mempercepatkan pembahagian sel.

“Ini bermakna ada kemungkinan sesiapa yang mempunyai sel kanser peringkat awal berdepan risiko maut secara mendadak jika masuk ke Taman Subang dengan percambahan segera sel itu yang dipertingkatkan melalui gelombang EMF.

“Dengan jumlah lebih 50 antena dan cakera pemancar gelombang yang dipasang pada menara berkenaan, bayangkan berapa banyak gelombang EMF terpaksa diserap penduduk setiap hari,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, objektif kaji selidik yang dilakukannya untuk menentukan kesan EMR terhadap penduduk Taman Subang membabitkan kejadian kanser, simptom tertentu, kekerapan sambaran kilat dan kebimbangan penduduk setempat berhubung kewujudan menara telekomunikasi berkenaan.

“Hasil kaji selidik itu menunjukkan angka mengejutkan membabitkan kejadian kanser di kalangan penduduk apabila mendapati 18.8 peratus daripada responden lelaki berumur 40 hingga 59 tahun diserang kanser berbanding hanya 0.21 peratus penduduk lelaki Malaysia dalam lingkungan usia sama mengalaminya.

“Responden wanita pula dalam lingkungan usia sama 2.56 peratus berbanding hanya 0.38 untuk keseluruhan kes di negara ini.

“Bagi lelaki berumur 60 ke atas (responden) pula, 11.54 peratus penduduk Taman Subang mengalaminya berbanding lelaki negara ini yang seusia (0.94 peratus), manakala wanita seusia di Taman Subang 13.3 peratus berbanding 0.67 peratus di Malaysia.

“Secara amnya, 8.23 peratus di kalangan 170 responden mengalami kanser berbanding tidak sampai satu peratus membabitkan keseluruhan populasi penduduk negara ini mengalaminya,” katanya.

Menurutnya, kaji selidik berkenaan dibuat membabitkan penduduk yang tinggal dalam lingkungan jarak 120 meter dari menara berkenaan dengan populasi penduduk dibahagikan tiga zon lingkungan iaitu Radius A yang berjarak 40 meter, Radius B (80 meter) dan Radius C (120 meter).

“Penduduk yang tinggal dalam Radius A mengalami simptom paling tinggi membabitkan keluhan pening, hilang ingatan, kurang penumpuan, loya, kemurungan, hilang selera makan, sakit kepala, gangguan penglihatan, gangguan waktu tidur dan ketidakselesaan, manakala penduduk yang tinggal dalam Radius B pula mengalami gangguan haid, penurunan keinginan syahwat, masalah kardiovaskular, kelainan pergerakan, gangguan pendengaran, keletihan serta ketidakselesaan.

“Walaupun simptom itu semakin berkurangan apabila menuju Radius C, zon berkenaan mencatat distribusi kes kanser paling tinggi,” katanya.

Dr Adlina berkata, pihak berkuasa perlu mengambil langkah sewajarnya dengan menghentikan operasi menara telekomunikasi itu seberapa segera untuk kesejahteraan penduduk.

“Saya sendiri terpaksa mengeluarkan belanja lebih RM20,000 untuk merawat dua anak. Anak lelaki saya dimasukkan ke hospital kerana mengalami ketumbuhan pada wajah dan selepas dirawat, kembali berulang. Anak perempuan saya pula dijangkiti ‘herpes zoster’ iaitu sejenis kayap yang tidak akan menyerang sistem imun badan orang normal. Seluruh ahli keluarga kami juga sentiasa berasa pening kepala melampau.

“Selain itu, kedudukan menara yang terlalu hampir dengan rumah penduduk iaitu sekadar 10 meter menimbulkan persoalan kerana garis panduan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan jarak 150 meter,” katanya.

Kes penyakit berbahaya di seluruh dunia disebabkan gelombang elektromagnetik dihasilkan pemancar telekomunikasi

>Kes 1 - London

PADA Ogos 2007, syarikat telefon bimbit Orange bersetuju mengalihkan pemancarnya yang dikenali ‘Menara Kemusnahan’ yang dipasang di atas bumbung pangsapuri lima tingkat selepas tujuh penduduk yang tinggal di bangunan itu diserang kanser dengan tiga daripada mereka meninggal dunia, manakala empat lagi sedang bertarung nyawa.

Peratusan kanser membabitkan penduduk yang tinggal di tingkat atas bangunan itu ialah 20 peratus, 10 kali ganda melebihi kadar keseluruhan negara berkenaan.

Sejak menara itu dipasang pada 1994, penduduk terpaksa bergelut dengan pelbagai masalah kesihatan seperti pening kepala melampau dan sebagainya.


>Kes 2 - Warwickshire, England

SEBANYAK 31 kes kanser pernah dilaporkan berlaku di satu jalan berhampiran sebuah menara telekomunikasi di bandar berkenaan. Hampir 10 daripada kira-kira 30 kakitangan sebuah sekolah istimewa berhampiran menara itu dilaporkan terkena barah sejak 2000, manakala selebihnya mengalami pelbagai masalah kesihatan lain.


>Kes 3 - Osafia, Israel

DALAM tempoh empat tahun (sejak 2000) seramai 165 orang meninggal dunia akibat kanser di satu kawasan kejiranan di Osafia yang mempunyai pemancar telekomunikasi.

Hal ini menyebabkan Kementerian Kesihatan negara itu membuat kajian kaitan kes kanser dengan pemancar di kawasan terbabit serta bercadang memanjangkan kajian mereka ke bandar Yavne, Modeen, Reud dan Tamra yang turut mempunyai pemancar seperti itu.


>Kes 4 - London, England

PADA 2002, ketua masyarakat setempat, Iain Duncan Smith menggesa kerajaan British menyiasat kaitan di antara 16 pemancar telekomunikasi yang dipasang pada bumbung sebuah bangunan di South Woodford apabila lima penduduk daripada tujuh rumah mengelilingi bangunan itu diserang kanser.

Kejadian kanser membabitkan penduduk yang tinggal jauh dari situ adalah rendah.


Kes 5 - Cardiff, Wales

SEKURANG-KURANGNYA lapan penduduk di St George dan St Brides mati akibat kanser dalam tempoh lima tahun. Setiap satu daripada 10 rumah berhampiran pemancar di Bedfordshire mencatatkan kematian akibat kanser.


>Kes 6 - Norfolk County, Amerika Syarikat

PADA 2006, 17 orang yang tinggal berhampiran menara pemancar di Norfolk County dilaporkan mengalami gangguan kesihatan termasuk pening kepala, keletihan, loya dan sebagainya sejak menara itu didirikan.

Menara itu kemudian dipindahkan.

Thursday, April 17, 2008

Pergaulan bebas punca hubungan terlarang

Jendela Hikmah:
Oleh Prof Madya Dr Umi Kalthum Ngah

PERNAHKAH kita terfikir atau memahami bahawa dengan menjaga batas pergaulan seharian di pejabat, kita boleh mendapat habuan pahala daripada Allah (SWT) dan keharmonian rumah tangga kekal terpelihara.

Melalui pengamatan dan pembacaan masa kini, kita dapati fenomena perhubungan sumbang (zina) antara isteri orang dengan suami orang sudah mula membarah dalam masyarakat Islam kita.

Kadangkala situasi yang memungkinkan berlakunya fenomena itu wujud tanpa disedari. Kata kunci terhadap perkara ini ialah kerana kita tidak sensitif terhadap pergaulan di pejabat. Budaya menjauhi zina tidak lagi menjadi slogan dalam diari pergaulan kita.

Adakah kerana kesibukan dalam tugas pejabat yang memerlukan lebih banyak masa untuk diluangkan di pejabat hingga lepas waktu kerja?

Sememangnya kadangkala keadaan itu tidak dapat dielakkan. Cuma wanita harus lebih peka ruang yang menyebabkan timbulnya fitnah.

Kerja yang bertimbun memaksa wanita berada di pejabat lebih daripada waktu biasa. Selalunya akan ada seorang dua rakan sejawat yang sama-sama terbabit dalam urusan kerja berkenaan atau ketua pun terpaksa memberi tumpuan untuk menghabiskan kerja yang mendesak.

Bayangkan sekiranya rakan sejawat atau ketua itu seorang lelaki (tidak kira sudah beristeri atau tidak). Jika sudah, maka sudah tentu akan lebih parah. Sedikit sebanyak interaksi dan ruang lingkup kerja sebegitu, jika wanita pula tidak berhati-hati, maka amat malang bagi wanita berkenaan.

Mula-mula mungkin keluar makan bersama atau makan nasi bungkus saja di pejabat. Kemudian, sering berbual dan berbicara. Timbul rasa selesa bersama, tempat luahan hati pelbagai masalah, sama ada masalah keluarga, peribadi atau ipar duai.

Jika wanita tidak pandai menjaga diri, maka sudah tentu akan melarat sehingga menimbulkan bibit perhubungan yang tidak diduga. Perkara dua insan ini mungkin berlarutan dan begitu ketara sehingga menjadi bahan gosip pejabat.

Memang tidak dapat dinafikan wanita penyumbang sumber tenaga manusia yang besar dalam pembangunan negara.

Wanita memang perlu berganding bahu dalam melaksanakan tugas di samping tidak mengabaikan tugas asasi di rumah.

Oleh itu, wanita berkerjaya harus mengetahui beberapa perkara sebelum ia keluar menjawat sebarang jawatan.

Di samping itu, lelaki juga perlu memahami adab pergaulan kerana menjaga adab pergaulan lelaki dan wanita adalah tanggungjawab bersama.

Tetapi sebagai wanita yang cerdik dan bijaksana, kita perlu melakukannya kerana kalau bukan kita yang memulakannya, siapa lagi. Kita boleh mengawal diri tetapi tidak boleh mengawal apa yang ada di dalam diri orang lain. Oleh itu, kita mulakan dengan diri kita dulu.

Beberapa panduan berikut harus jelas difahami.

  • Niat ikhlas รข€“ keredaan Allah (SWT) SWT

Wanita berkerjaya haruslah mengikhlaskan niat dan meletakkan fokus sebenar mengapa ia memegang sesuatu jawatan. Yang utamanya ialah kerana ingin mendapat keredaan Allah (SWT) SWT dengan berhubung terus dengan masyarakat dan melaluinya boleh dijadikan contoh teladan seorang muslimat sejati. Antara lainnya juga ialah keluarnya wanita bekerja itu agar amanah tidak diserahkan kepada orang yang tidak layak diberikan amanah berkenaan.

  • Isteri yang dihormati

Seharusnya wanita berkerjaya harus sentiasa menjaga akhlaknya sebagai seorang isteri yang setia dan berperibadi tinggi. Jangan sekali-kali mengkhianati keizinan yang telah diberikan oleh suami untuk melakukan perkara yang boleh menimbulkan fitnah.

Perlu diingat bahawa bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kuasa untuk mengatakan tidak berada di dalam tangan seseorang wanita itu. Jika berlaku gejala gangguan seksual, maka banyak cara dan saluran yang boleh dilakukan untuk mengatasinya.

  • Ibu yang dimuliakan

Wanita berkerjaya yang mempunyai anak sudah tentunya tahu apa itu perasaan kasihan belas, sifat timbang rasa, pemaaf, berhikmah apabila berbicara. Sebaik mungkin sifat keibuan ini jelas terpancar di dalam tindak tanduk berurusan sama ada dengan rakan setugas, orang bawahan atau orang luar pejabat.

Dengan itu akan timbul rasa hormat dan jika ini berlaku, pekerja bawahan terutama akan rasa senang untuk melakukan tugas secara suka dan rela tanpa perlu dipaksa serta di arah-arah. Pendek kata, jadilah ibu yang boleh dijadikan contoh (walaupun tidak mungkin dapat meraih anugerah Ibu Mithali), yang ke hadapan dalam hal pendidikan, pembentukan akhlak dan tempat rujukan dalam hal menangani permasalahan berkaitan anak.

  • Kerjaya bukan jalan keluar mengatasi kebosanan

Amat malang sekiranya wanita berkerjaya beranggapan bahawa keluarnya ia bekerja ialah jalan mudah untuk mengelak atau melarikan diri daripada tugas seorang suri rumah yang dianggapnya sebagai membosankan.

  • Kedudukan di sesuatu tempat kerja adalah aset

Wanita berkerjaya perlu sedar bahawa dengan dia memegang sesuatu jawatan itu, maka dia adalah seorang yang memang boleh diharap, malah mempunyai mutu kerja tinggi. Ini bermakna organisasi di mana ia berada akan merasakan kehilangan seseorang yang amat berharga jika ia tiada. Dalam lain perkataan, ia harus menjadi pekerja cemerlang, bukannya liabiliti.

  • Perlu ada suasana nasihat menasihati

Masyarakat sekeliling seharusnya memberi perhatian dan perlu memberi kata-kata nasihat.

Oleh itu, wanita perlu ada rakan wanita lain yang ikhlas nasihat-menasihati.

Surah Al-Asr seharusnya dijadikan panduan dalam amalan.

Jagalah sepenuhnya agar tidak berada dalam suasana yang menyebabkan fitnah yang menimbulkan kecurigaan.

Kadangkala wanita lain agak cemburu dan selalu suka menjatuhkan antara satu sama lain. Paling tidak, ada yang suka melihat perkara sumbang ini berlaku dan menjadikan rakan sebagai bahan gosip panas semata-mata. Kita seharusnya menjauhkan wanita yang tidak boleh dibuat kawan seperti ini, tetapi ini adalah bahan cerita lain yang mungkin boleh diteliti dalam penulisan lain.

  • Wujudkan persekitaran komunikasi yang baik dalam rumah tangga

Peranan suami juga tidak kurang pentingnya. Suami memang sibuk dengan urusannya. Adakah suami wanita berkerjaya mengambil berat, suka mendengar luahan rasa hati isteri? Oleh itu, komunikasi rumah tangga menjadi keutamaan.

Suami isteri harus dapat menyelami sanubari masing-masing tanpa perlu mencurahkan pada orang lain, apatah lagi suami orang atau isteri orang.

Suami isteri kenalah semarakkan semula api cinta yang telah terbenam dalam sekam dimamah usia perkahwinan. Jadilah teman berbicara dan telinga yang mendengar untuk pasangan masing-masing.

Sebagai kesimpulan, sekiranya wanita dwi-kerjaya dapat menghadam beberapa perkara yang disebutkan, maka sudah tentulah Allah (SWT) akan melindungi setiap wanita yang ikhlas menyumbang di luar rumah untuk mendapat keredaan-Nya, membantu menegakkan agama-Nya, kerja tidak menjadi sia-sia malah diberi pahala dan ganjaran.

Dalam masa yang sama, keluarga akan terpelihara, sejahtera dan sentosa, amanlah masyarakat daripada fitnah dan negara akan dapat terus maju membangun.

Jika tidak, maka persoalan harus ditanya pada diri wanita sendiri. Adakah lebih baik kita menyumbang di dalam ruang lingkup rumah kita saja?


-Penulis adalah pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dan boleh dihubungi di emel: wanitajim0@yahoo.com

-mutiara hati-


Tuesday, April 1, 2008

Serangan Jantung dan Minum Air Suam






Fakta ini sangat bagus. Bukan semata-mata berkenaan air suam, tetapi berkenaan Serangan Jantung ... Masyarakat Cina dan Jepun minum the panas untuk ketika bersarapan, bukannya air sejuk, mungkin inilah masanya kita perlu mengubah tabiat minum semasa makan.


Kepada sesiapa yang gemar minum air sejuk, fakta ini sangat bermakna buat anda. Memanglah sesuatu yang nikmat untuk minum segelas air sejuk selepas makan. Walaubagaimanapun, air sejuk akan melikatkan minyak yang kita makan bersama hidangan. Sudah tentu ia melambatkan lagi proses pencernaan. Sekali gumpalan minyak ini bertindakbalas dengan asid di dalam perut, ia akan memecah dan diserap oleh enzim intestine lebih cepat berbanding makanan pejal. Ia akan selari dengan enzim intestine. Dalam masa terdekat, ia berpotensi bertukar menjadi lemak dan mendorong kepada kanser. Adalah penting untuk minum sup panas atau air suam selepas makan.


Petanda Lazim Serangan Jantung

Amaran berkenaan serangan jantung – Anda seharusnya mengambil tahu yang petanda serangan jantung bukan sahaja pedih pada sebelah kiri dada.. Awasi jika terasa sakit yang menyesakkan pada dada kiri. Mungkin anda belum pernah merasa sakit dada semasa terkena serangan jantung. Muntah-muntah dan berpeluh berlebihan juga antara tanda-tanda lazim. 60% pesakit yang terkena serangan jantung adalah ketika sedang tidur dan tidak boleh bangun dari tidur. Sakit pada dada boleh menyebabkan tidak sedarkan diri. Berhati-hati dan berjaga-jagalah sentiasa... Lebih banyak yang anda ketahui berkenaan serangan jantung, maka lebih peluang untuk anda terselamat.

Kata pakar kardiologi (jantung), jika seseorang telah membaca fakta ini, sebarkanlah ia kepada 10 orang lain yang dikenali, anda mungkin tidak mampu menyembuhkan pesakit, tetapi anda sebenarnya berjaya menyelamatkan seseorang dari menjadi pesakit.