Friday, August 31, 2007

Gambar Seks dan Lucah Boleh Menyebabkan Buta

"Islam telah lama menyuruh kita menjauhi sebarang perkara yang boleh mendekatkan kita kepada zina. Sekarang saintis barat membuktikan kebenaran tersebut. Kajian dilakukan oleh Dr David Zald, dari Vanderbilt University di Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat.
Akhbar, majalah, novel, televisyen, filem malah komik di Malaysia , negara yang majoritinya umat Islam dilambakkan dengan gambar seksi dan ghairah untuk menarik pelanggan yang akhirnya bukan hanya membutakan hati umat Islam , malah membutakan mata kita semua.

Berikut ialah petikan kajian Dr David Zald :

Para penyelidik akhirnya menjumpai bukti apa yang budak-budak Katolik ketahui sejak sekian lama – gambar ghairah akan membuatkan anda buta. Kesannya sementara, akan tetapi para penyelidik menggesa kepada pihak majlis keselamatan jalanraya agar mengharamkan papan tanda iklan seksi terutamanya di jalan-jalan yang sibuk, supaya kemalangan dapat dielakkan.

Penemuan terbaru oleh ahli saikologi US itu mendapati mereka yang melihat gambar ghairah/seksi akan tidak dapat melihat imej yang terpapar selepas itu.

Para penyelidik ini mendapati mereka yang buta akibat rangsangan emosi ini menyebabkan mereka tidak nampak kenderaan lain atau pejalan kaki.

-tranung

Thursday, August 30, 2007

Nilai Tudung Wanita

Di sini Darul Nu'man ingin menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan mahramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Allah mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersolat. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan mahramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal solat lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Sunday, August 26, 2007

Definisi ‘Menarik’

Apabila ditanya 100 orang apakah definisi menarik, maka kita memperoleh 110 jawapan yang berbeza. Jenis menarik apakah yang kita miliki ataupun yang kita hendak miliki. Ada individu yang memiliki pelbagai faktor menjadi menarik yang pelbagai. Bagaimana pula definisi menarik itu mampu membahagiakan kita?

Faktor Fizikal Dapat dilihat
Melalui pandangan pertama, kita melihat seseorang itu menarik disebabkan faktor fizikal. Orang yang lebih tinggi dilihat lebih menarik daripada orang yang rendah. Jejaka yang berbadan kurus dan sasa dilihat lebih menarik daripada yang berisi dan gemuk. Gadis yang berkulit cerah lebih menarik daripada gadis yang berkulit kurang cerah. Apabila kita melihat ada individu yang memiliki kelebihan fizikal maka kita percaya mereka adalah tergolong dalam individu yang menarik.

Faktor Fizikal Membina Estim Diri
Ada seorang lelaki awal dua puluhan bertanya “benarkah orang yang tinggi lebih menarik daripada orang yang rendah?”. Kemudian saya bertanya kembali “apakah pendapat saudara?”. Dia menjawab “saya rasa orang yang lebih tinggi lebih berkeyakinan dan menarik” Mengapa lelaki itu berkata demikian? Jawapannya kerana dia seorang yang dianggap rendah berbanding rakan-rakannya yang lain.

Orang yang memiliki kelebihan fizikal membina konsep diri yang positif mengenai dirinya. Apabila seseorang lebih tinggi daripada rakan yang lain, pandangan pada persekitarannya lebih tinggi dan berbeza daripada orang lain. Maka apabila dia kemudiannya berjumpa sekumpulan orang yang lebih tinggi daripada dirinya, maka dia memperoleh pandangan yang agak berbeza daripada keadaan yang sebelumnya.

Saya suka mata awak”
Kita cenderung meminati sesuatu pada seseorang yang kita lihat menarik pada pandangan kita. Setiap orang ada minatnya tersendiri. Pada mata, pada gigi, lenggok jalan, cara gelak dan lain. Ia bukanlah segala-galanya tetapi cukup menjadi pembuka kepada perhubungan yang lebih mendalam.

Jangan Tertipu dengan Menarik Fizikal
Walaupun menarik secara fizikal selalu memukau pandangan mata, selalunya kecantikan fizikal perlu digandingkan dengan kecantikan dan menarik yang lain. Bab seterusnya menerangkan faktor-faktor yang dimaksudkan. Apabila seorang yang menarik fizikal tetapi tidak memiliki penampilan yang sesuai dan kemahiran komunikasi yang baik, dia dilihat sebagai seorang yang membosankan.

Tidak perlu Tunggu jadi Model untuk jadi Menarik
Media kuat menyogok orang ramai tentang seorang yang menarik. Maka para selebriti dipertontonkan bagi memperagakan barangan berjenama. Akhirnya mereka menjadi trand setter kepada individu yang menarik. Bilakah kita akan jadi seperti Di Caprio ataupun Camaron Diaz? Jawapannya baiklah kita lupakan sahaja mimpi itu. Lihat diri kita yang sekarang dan katakan pada diri kita, kita sebenarnya seorang yang menarik tetapi kita sahaja tidak perasan. Tidak perlu tunggu wajah kita jadi macam Diaz ataupun sekacak Di Caprio, cukup kita boleh jadi individu menarik dengan apa yang kita miliki sekarang. “Sesungguhnya Tuhan menjadikan manusia sebaik-baik kejadian.” Fokuskan perhatian kita kepada perkara yang boleh kita perbaiki supaya menjadi individu menarik.

Citarasa Orang Pelbagai
Setiap ciptaan Tuhan itu tidak diciptakan hanya untuk sia-sia. Ramai beranggapan orang yang tidak memiliki ciri fizikal menarik tidak diminati dan dilihat menarik oleh orang lain. Mereka salah! Setiap orang ada yang menarik pada matanya walaupun tidak pada mata orang lain. Contohnya ada lelaki yang melihat wanita berkaca mata itu menarik dan cute walaupun orang lain tidak pula melihat sedemikian. “Macam mana kau boleh lihat si pulan itu cantik?” Tanya seorang kawan. “Kalau hendak lihat dia cantik, lihat daripada mata aku.”

Ada yang Suka Putih Ada yang Suka Hitam Manis
Walau apapun penampilan fizikal seorang, jangan risau kerana Tuhan menciptakan manusia dengan tidak sia-sia. Ada yang suka putih ada pula yang suka hitam manis. Nabi berkata “Sesungguhnya roh manusia seperti tentera yang terlatih.”

Hendak buat Pembedahan Plastik?
Sekiranya kita hendak buat pembedahan plastik, ia terpulang pada kita. Tetapi hakikatnya kita boleh menjadi seorang yang menarik tanpa membelanjakan wang yang banyak. Tumpukan perkara yang boleh diperbaiki seperti kemahiran komunikasi, penampilan diri, membina sikap dan sifat yang disenangi oleh orang lain.

-Dr. Cinta