Wednesday, January 2, 2008

Sains bukti sembelihan Islam kaedah terbaik

Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap
perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam
mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana
banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan
korban pada Aidiladha.

Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh
Barat, mereka menggunakan alasan amalan korban ini
sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan
betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas.

Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya
haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala sebelum
dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan
terlebih dulu sebelum ia dibunuh.

Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan
untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia
mati.

Apakah pandangan Barat ini benar?

Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan
apa yang diharamkan adalah jelas terutama membabitkan
daging.

Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan:

"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah,
dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih
kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik,
dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk,
dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang
sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama
berhala." (Tafsir al-Rahman, Jakim).

Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging
haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher,
menghempap dengan batu atau cara selain daripada
sembelihan.

Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan
pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk
memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini
dikaji pakar Jerman.

Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr
Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti
Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses
mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih
dan segar.

Kajian itu bertajuk, `Cubaan untuk mengesan kesakitan
dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama
ketika menyembelih lembu atau kambing', menyimpulkan
kaedah Islam terbaik kerana lebih berperikemanusiaan.

Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan
elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang
diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat
sangat pada haiwan.

Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di
pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan
menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan
untuk pulih selama beberapa minggu.

Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah
Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher
dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh
mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan
(CBP).

Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph
(EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi
mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan
terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP.

Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat
pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan
sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum
penyembelihan.

Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak
berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja
pisau memotong urat leher terbabit.

Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur
lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak
darah mengalir keluar dari badan.

Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar,
menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang
kesakitan.

Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung
masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak
akibat tindak balas daripada saraf tunjang,
menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan
menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan,
menurut penyelidikan itu.

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan
dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan
CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan
itu.

Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal
selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang
disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih
terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat
untuk dimakan.

Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan
haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam,
turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak
penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia.

Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan
oleh Universiti Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan
Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan
pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu
diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi)
menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang
haiwan itu.

Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan
saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas
teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan
apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria
serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke
daging.

Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke
atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk
diambil dagingnya di Amerika Syarikat.

Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia
juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding
daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti
ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak
sembelih.

Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan
menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan
saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga
memberi manfaat kesihatan kepada manusia.

Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain
bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan
dengan lebih baik.

Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan
supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan
memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi
mengurangkan rasa sakit.

Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan
dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf
otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan
kepada otak.

Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika
disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku
selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan
tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang.

Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan
sepenuhnya, kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam
Islamonline pada 2003.

Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan,
adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan
pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau
menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain.

Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha
menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran
udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa
menjejaskan saraf tunjang.

"Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari
badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih.

"Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung
akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan
terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan
sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan
membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai
perantara kepada mikro organisma," kata Aisha dalam
kajiannya.

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat
berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika
proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka
terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti
kejam dan tidak berperikemanusiaan.

No comments: