Sunday, September 28, 2008

Kemunafikan Kapitalisme


Krisis Ekonomi dunia tidak ubah seperti satu permainan domino pada saat ini.

Oleh: Rausyanfikir (tersiar dalam Siasah Edisi seminggu sebelum Raya)


Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:


Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “. -Riwayat Ahmad

Gempar, kaget dan segala macam lagi rasa yang membuak-buak timbul dalam benak rakyat Amerika Syarikat melihat entah berapa buah bank dan insitusi kewangan penting mereka tumbang satu-persatu. Semuanya persis permainan domino yang sedang beratur panjang dimana buah domino pertama tertera ‘KRISIS SUBPRIMA’ telah menolak jatuh buah-buah domino yang berlabel nama-nama besar seperti ‘Bear Sterns’, ‘Fannie Mae/ Freddie Mac’, ‘Lehman Brothers’ dan yang terakhir belum merasai impaknya adalah buah domino yang tertera label ‘EKONOMI DUNIA’.

Pelbagai analisis ‘profesional’ telah dilakukan dalam media arus perdana berkenaan krisis yang bakal menyerupai atau melebihi The Great Depression pada tahun 1930. Seperti biasa semuanya berbalik kepada persoalan ekonometrik, nombor dan terminologi yang menghampakan kefahaman orang awam.

Bagi Naomi Klein, seorang intelektual awam dari Kanada yang sangat terkenal dengan ‘Teori Gegaran dan Bencana Kapitalisme’ melihat betapa sebenarnya golongan yang menjadi ideologue pasaran bebas, neo-liberalisme dan juga kapitalisme ini merupakan golongan hipokrit nombor satu kepada rakyat dunia.

Cuba anda bayangkan. Dalam masa seminggu, kerajaan Amerika Syarikat dengan ‘pakar-pakar’ kewangan telah meluluskan pelan keselamatan yang dianjurkan oleh Jabatan kewangan Negara (baca: tauke kapitalis daripada institusi kewangan) dalam cubaan menyelamatkan institusi penting ekonomi mereka dengan mengepam duit sebanyak US Dolar 700 bilion ke dalam pasaran yang sedang jatuh menjunam.

Sewaktu ekonomi berjalan licin, mereka tidak berhenti membawa agenda laissez faire, yakni penyerahan kuasa mutlak kepada pasaran, kerana mengikut kefahaman penyokong ideologi ekonomi neoliberalisme ini, ketiadaan campur tangan kerajaan mampu menghasilkan ledakkan buih-buih spekulatif yang menguntungkan. Lain pula yang berlaku apabila buih-buih tersebut meletup seperti yang berlaku kini. Golongan kapitalis ini tidak berhenti sujud merayu kepada kerajaan Amerika untuk campur tangan kembali.

Mengikut Klein, beliau melihat ideologi pasaran bebas itu akan kembali menyengat selepas kerja-kerja menyelematkan institusi kewangan itu selesai dilakukan. Berdasarkan teori ‘Bencana Kapitalisme’ yang digariskan dengan panjang lebar dalam buku beliau The Shock Doctrine: The Rise of Disaster Capitalism, Klein melihat bahawa beban hutang menggunung akan terhasil selepas kerja-kerja menyelamatkan para spekulator dan pelabur parasit ini selesai dilakukan. Ini akhirnya akan memberi peluang untuk berlakunya krisis bajet global dimana golongan kapitalis yang oportunis akan menjustifikasikan usaha mereka untuk perlunya kerajaan memotong bajet kewangan program sosial (seperti subsidi etc.) dan melakukan lebih banyak program pengswastaan entiti penting (elektrik, air etc.) yang masih berbaki dalam sektor awam.

Semenjak ideologi ekonomi neoliberal yang membawa agenda pasaran bebas digunakan secara meluas 40 tahun lalu, generasi yang ada sekarang semuanya telah didoktrinkan bahawa kerajaan tidak boleh campur tangan dalam meningkatkan kualiti hidup manusia moden. Kerajaan adalah masalah, bukan penyelesaian kepada kemelut ekonomi.


Pasaran seharusnya bebas menabur peluang dan ruang buat manusia bersaing secara hebat dan produktif. Itulah yang telah diwar-warkan selama ini sehingga kewujudan jurang kaya-miskin yang tidak berkesudahan dipersalahkan atas sikap malas golongan miskin sedangkan sebenarnya mereka telah dimiskinkan oleh sistem yang bersifat lintah darat!


Semua ini dapat dilihat dalam lembaran sejarah bagaimana kaum peribumi telah dihukum dengan slogan ‘beban orang putih’ yang sebenarnya bertopengkan kerakusan hawa nafsu golongan kapitalis dan imperialis. Beribu kaum peribumi dibunuh, terbunuh dan membunuh sesama sendiri dek kekejaman dan adu domba puak kapitalis Barat dalam usaha mereka untuk menguasai pasaran dan sumber alam di Asia, Amerika Latin dan Afrika. Tidak lupa juga berjuta manusia bukan kulit putih terutamanya warga Afrika telah dieksport sebagai hamba ke Eropah dan Amerika.




Demi Kapitalis: Tauke-tauke yang akan mengaut keuntungan daripada krisis ini.




Tetapi sekarang lain pula ceritanya. Kita sedang menyaksikan betapa ekstrimnya kerajaan Amerika Syarikat melakukan campur tangan untuk melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan para pelabur yang sedang berterabur di Wall Street pada saat ini.


Kata Klein, fenomena ini seharusnya melahirkan persoalan: jika kerajaan boleh campur tangan untuk menyelamatkan syarikat dan institusi kewangan yang mengambil risiko secara membabi buta dalam urusan jua beli hartanah, kenapa kerajaan tidak boleh campur tangan dalam membantu berjuta rakyat Amerika daripada disita harta mereka kerana gagal melangsaikan hutang dalam krisis subprima? Dalam situasi yang sama, kalau 85 bilion US Dolar boleh disediakan dengan mudah untuk membeli (baca:bailout) syarikat insurans gergasi AIG, kenapa insentif bayaran penjagaan kesihatan-yang mampu melindungi rakyat Amerika daripada menjadi mangsa kekejaman pengurusan syarikat insurans penjagaan kesihatan tampak seperti satu mimpi yang mustahil untuk berlaku? Dan kalau lebih banyak syarikat gergasi yang memerlukan pek keselamatan yang berupa hasil cukai rakyat untuk terus bertahan daripada jatuh bankrap, kenapakah pembayar cukai tidak boleh membuat desakan seperti jaminan daripada tidak dibuang kerja dan gaji minima yang setimpal?

Sudah lupakah kita bencana Katrina? Bagaimana kaum kulit hitam dilayan macam sampah dalam keadaan getir sebegitu oleh pemimpin yang memperjuangkan ‘kemakmuran melalui pasaran bebas’!

Di negara China lain pula ceritanya. 53,000 bayi telah disyaki menghidapi risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit batu karang kerana pencemaran susu formula yang mengandungi bahan kimia melamine. Antara syarikat yang mendalangi pengkhianatan ini ialah Kumpulan Sanlu yang juga merupakan antara syarikat produk tenusu terbesar di China yang mempunyai pasaran yang meluas di rantau Asia.

13,000 daripada bayi tersebut telah dimasukkan ke hospital kerana telah mendapati batu karang dan beberapa penyakit lain, 104 daripadanya lagi dalam keadaan yang tenat dan 4 bayi telah mati akibat pencemaran produk susu formula bayi ini.

Menurut agensi berita AFP, kumpulan Sanlu telah mendapat aduan berkenaan insiden bayi yang jatuh sakit akibat penggunaan produk susu mereka semenjak Disember 2007 lagi.

Wakil kerajaan di bandar utara Shijiazhuang dimana Sanlu berpusat telah menangguhkan lebih daripada sebulan berkenaan pembawaan kes ini kepada pihak atasan walaupun Sanlu telah memberitahu mereka berkenaan masalah pencemaran tersebut pada 2 Ogos yang lalu.

Hasil siasatan daripada kabinet mendedahkan bahawa dalam masa 8 bulan dari bulan Disember 2007 hinggalah ke 2 Ogos 2008, Sanlu tidak membuat sebarang laporan kepada pihak yang berkaitan di Shijiazhuang dan tidak mengambil sebarang usaha memperbaik pulih mutu keselamatan produknya sehingga membawa kepada keadaan yang melarat ini.

Bahan kimia melamine tersebut, kebiasaanya digunakan untuk membuat plastik telah dimasukkan ke dalam bekalan susu untuk memberi gambaran piawai kandungan protein yang lebih tinggi. Satu penipuan yang keji.

Skandal ini telah memperlihatkan perletakan jawatan ketua pemerhati keselamatan produk yang turut sama bertanggung jawab dalam beberapa kes pencemaran produk sebelum ini yang melibatkan makanan, permainan dan barangan lain yang rata-ratanya telah dieksport ke luar. Turut sama di pecat adalah wakil utama Parti Komunis di Shijiazhuang, Datuk Bandar dan beberapa kakitangan kerajaan lain.

Kalau kita lihat betapa sebenarnya kes pencemaran susu ibu ini menggambarkan kepincangan sistem sosio-ekonomi yang wujud melalui pelaksanaan falsafah ekonomi kapitalisme.

Perubahan drastik paten tenaga kerja yang mengheret wanita dan kaum ibu ke alam pekerjaan, telah secara tidak langsung turut sama mengubah gaya hidup rakyat China menjadi lebih mewah daripada dulu. Maka berlakulah peningkatan taraf hidup dari sudut materialisme yang akhirnya telah menjadikan pembangunan itu sebagai ‘candu’ untuk mencapai kebahagiaan. Berbondong-bondonglah golongan kaum ibu keluar bekerja demi menghidupkan impian masing-masing untuk mendapat taraf hidup yang lebih baik.

Golongan ibu ini akhirnya secara tidak langsung terperangkap dalam satu sistem kehidupan yang sangat sesak, menjadi sebahagian daripada “keadah produksi” seperti yang diperkatakan oleh pemikir agung Jerman, Karl Marx dan diperhambakan secara tidak sedar mengikut keadaan ekonomi semasa yang senantiasa mengejar pembangunan fatamorgana.


Jikalau ekonomi China menjadi teruk maka sudah tentu antara pemboleh ubah yang terpaksa diperketatkan adalah dari segi tenaga buruh. Mereka akan dikerah berkerja melebihi masa yang ditetapkan, dikurangkan bayaran gajinya kerana itulah sifat asasi kepada kejayaan sistem ekonomi kapitalis. Memaksimakan keuntungan, dan meminimakan kos. Eksploitasi golongan pekerja secara hidup-hidup.

Kesempitan dan tekanan hidup yang datang melimpah ruah dalam bentuk kerjaya mereka akhirnya menjadikan urusan rumah tangga perkara yang kedua dalam kehidupan mereka. Laporan daripada beberapa badan bukan kerajaan di China mendapati situasi ini telah dieksploitasi oleh syarikat-syarikat produk tenusu dengan melobi (baca:rasuah) para doktor untuk mempromosi penggunaan susu formula bayi adalah lebih baik daripada susu badan bagi membantu ibu-ibu yang sibuk berkerjaya. Ini akhirnya memberi dampak sosial dan ekonomi yang jelas dimana penurunan kadar penyusuan bayi menggunakan susu badan disamping peningkatan penjualan produk susu formula bayi yang menghasilkan tragedi kejam ini.

Ini adalah satu tragedi sosial yang berantai bukanlah semudah membantai sang kapitalis yang memasukkan melamine tersebut.Kerakusan dan ketamakkan para kapitalis dalam pelbagai sektor ekonomi China telah memerah tenaga dan masa golongan ibu ini untuk berlaku alpa terhadap anak-anak mereka yang turut sama menjadi habuan keuntungan golongan kapitalis di bahagian sektor produk tenusu.

Kedua-dua episod ini menunjukkan satu persoalan etika yang serius. Kemunafikkan tampak jelas kepada manusia yang diberi amanah kemudian mengkhianati amanahnya sehingga merosakkan kehidupan orang lain. Apakah dengan perlucutan jawatan dan penaburan duit berbilion US Dolar kepada manusia-manusia pengkhianat itu akan menjanjikan penyelesaian yang pasti buat seluruh rakyat Amerika dan China?

Ternyata tidak kerana seperti kata ideologue Ikwanul Muslimin, Syed Qutb dalam karyanya Al-'adala al-Ijtima'iyya fi-l-Islam (Keadilan Sosial dalam Islam) bahawa jikalau teori sosial dibina dengan konsep fitrah manusia yang sempit (kapitalisme dengan individualisme tegar, komunisme dengan anti-individualisme) ianya hanya akan jadi satu teori yang cantik dari luar tetapi tidak mampu memberi keadilan sosial.

Apakah kita juga akan mengikut jejak langkah yang sama seperti mereka? Pastikan para politikus dan bijak pandai kita sedar akan situasi masa kini kerana dengan kekuasaan yang disaluti kebodohan untuk menilai yang mana satu intan dan yang mana satu kaca, tidak mustahil kita akan menjadi seperti negara China komunis yang berbaju kapitalis buatan Amerika Syarikat. Compang-camping jadinya sistem sosio-ekonomi mereka. Akhirnya rakyat juga yang menerima padahnya. [sumber]

No comments: